Makluman.... Untuk paparan yang baik sila gunakan browser Mozilla Firefox dan resolusi 1024 x768!.... WTV8 dan WEBRTV TV Alternatif Online Kita!....

Oleh : Mohd Rashid bin Ithnin ( Ketua DPPK Sekijang )

Perkembangan politik mutakhir melibatkan pergelutan Dr. Mahathir dan Pak Lah sebenarnya berpentas diatas prinsip politik UMNO yang lapuk dan usang. Prinsip politik memungkinkan apa saja yang bersandarkan kepada matlamat menghalalkan cara menjadikan wajah politik Malaysia terlalu kotor dan buruk. Natijah daripada budaya politik sebegini memberi imej yang amat buruk kepada negara. Konklusi mudah yang boleh dibuat daripada situasi semasa ini ialah korupsi, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa adalah amalan yang membudaya didalam praktis sistem pemerintahan negara ini. Dengan wajah sebegini pastinya ianya memberi kesan secara langsung kepada kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara.

Kemelut yang melanda UMNO ini juga sedikit sebanyak memberi impak kepada gerakan parti politik pembangkang, khususnya PAS. Tidak dapat dinafikan krisis ini meletakkan banyak pihak didalam keadaan keliru, khususnya para penyokong dan pendokong parti pembangkang. Menyokong sanggahan Dr. Mahathir pastinya akan mengundang pelbagai telahan dan pandangan serong terhadap pendirian sebenar politik pembangkang. Manakala pendirian menyanggah Dr. Mahathir pula akan dikatakan sebagai satu bentuk sokongan kepada Pak Lah. Sedangkan prinsip yang jelas ialah kita menuntut penjelasan daripada kerajaan atas segala pendedahan Dr. Mahathir dengan dalam masa yang sama kita juga mengutuk tindakan campur tangan Dr. Mahathir terhadap pemerintahan kerajaan sedia ada ketika ini. Mungkin kerana cuba untuk memenifestasikan prinsip inilah timbul kekeliruan yang sedikit mengundang polemik antara parti politik pembangkang ketika ini.

Terbaru kehadiran beberapa orang pimpinan PAS dan DAP didalam dialog dan penerangan isu-isu semasa oleh Dr. Mahathir, yang dianjurkan oleh sebuah laman web dan badan-badan NGO’s. Kehadiran mereka telah mengundang kritikan daripada beberapa orang pimpinan BA khususnya Keadilan. Azmin Ali, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat didalam blognya menyifatkan tindakan tersebut sebagai usaha memberi “laluan baru” kepada pelaku kezaliman. Beliau juga menyifatkan pandangan yang mengatakan kehadiran segelintir pimpinan tersebut sebagai usaha untuk meransang kelantangan Dr. Mahathir mengecam pemerintahan Pak Lah sebagai satu perhitungan politik yang naif dan cetek. Nada yang sama juga dapat didengari daripada pimpinan Keadilan yang lain, yang menyanggah kewajaran tindakan menghadiri forum tersebut.

Malah ada yang bernada nakal menjustifikasikan tindakan tersebut sebagai bukti kegoyahan pendirian politik mereka yang terlibat. Dan yang lebih berterus-terang terus sahaja menyerang mereka khususnya PAS dengan lemparan tuduhan yang tidak berasas.

Persoalannya kenapa ini semua berlaku ? Mengapa diketika keruh yang melanda UMNO, BA pula mencipta pergolakkan ? Mengapa begitu ? Sedangkan telah jelas bahawa pendirian yang disepakati ialah kita menuntut penjelasan daripada kerajaan atas segala pendedahan Dr. Mahathir dengan dalam masa yang sama kita juga mengutuk tindakan campur tangan Dr. Mahathir terhadap pemerintahan kerajaan sedia ada ketika ini. Ini adalah pendirian yang tegas. Ini adalah pendirian bersama yang sewajarnya kita pertahankan.

Sebenarnya persoalan ini telah membuka perspektif baru kepada kita untuk menilai kembali jalinan kesepakatan didalam BA. Jelas sekali dari masa ke semasa dari satu isu ke satu isu jalinan kesepakatan BA itu menampakkan wajahnya yang sebenar, wajah jalinan yang terlalu longgar untuk dibanggakan kewujudannya.

Sudah sampai masanya untuk kita kembali duduk membincangkannya secara serius untuk kebaikan semua. Bincangkan tentang hala tuju sebenar kesepakatan ini. Percetuskan kembali prinsip sebenar yang mendasari kesepakatan ini. Benar kita boleh saja berhujah tentang pelbagai prinsip dan pendirian yang sering kali membesarkan ego dan angkuh sehingga menyebabkan percubaan demi percubaan untuk membina kesepakatan yang lebih murni didalam BA buntu. Tetapi kita juga perlu jelas sebagai satu gerakan pembaruan, satu gerakan reformasi yang cuba untuk meruntuhkan sistem pemerintahan lapuk dan usang UMNO samada mahu atau tidak kita perlu berdepan dengannya. Berdepan dengan segala keegoan dan keangkuhan yang melingkari kita, duduk dan perdebatkannya sehingga terjernih didalamnya satu kesepakatan yang benar-benar bersedia untuk menampung keseluruhan rakyat Malaysia.

Kita perlu sedar, kerana didikan kita sebahagian daripada rakyat negara ini kini berupaya untuk berfikir dengan baik, mereka tahu membezakan yang mana retorik yang mana ideal. Mereka ini telah melakukan satu perubahan yang cukup besar kepada diri mereka dengan memberi peluang kepada BA untuk merencanakan hala tuju dan masa depan mereka. Sebagai sebuah gerakan yang bertanggungjawab ayuh kita sambut kepercayaan tersebut dengan memperkasakan gerakan untuk satu lagi perjuangan menuntut kemerdekaan, cuma bezanya tuntutan kemerdekaan kali ini ialah tuntutan kemerdekaan diri daripada sistem yang korup dan tolol.

Segalanya bermula dengan kita, jika kita berterusan begini, beraksi sendiri-sendiri, bersuara sembunyi-sembunyi, sampai bila pun kita akan terus begini. Sepertimana 1999, sepertimana 2004 sebegitu jugalah nanti 2008. Tidak kiralah hadir atau tidak Datuk Seri Anwar Ibrahim jika tidak dari sekarang kita menjana kembali kesepakatan tenaga untuk berdepan dengan rakyat maka setiap kali itulah kita akan dikecewakan.

Ini adalah pentas politik. UMNO telah memilih untuk dulu, kini dan selamanya bergaduh, berberantakkan dan berpencak. Jika tidak dengan pesaing sesama mereka pun keris dihunuskan. Kita mewakili budaya politik baru yang memilih untuk berbeza dengan UMNO. Terdapat ruang yang cukup luas untuk kita melakukan yang terbaik untuk menjayakannya. Ruang yang cukup luas untuk kita bereksperimen, cuba dan terus mencuba. Ruang ini juga belum lagi sempit untuk kita beralah berkerat rotan berpatah arang. Ingat dipentas politik ini berlagu jangan sumbang, menari pula jangan pincang kelak kita yang merana badan ! Benar sayang anak ditangan-tangankan, sayang isteri ditinggal-tinggalkan tetapi jangan pula kerna guruh dilangit air ditempayan dicurah buang !

 
posted by dppk sekijang at 9:03 PM |


0 Comments: