Makluman.... Untuk paparan yang baik sila gunakan browser Mozilla Firefox dan resolusi 1024 x768!.... WTV8 dan WEBRTV TV Alternatif Online Kita!....

Oleh : Mohd Rashid bin Ithnin (Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Sekijang)

Secara umumnya kita menyedari bahawa kerajaan kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ( Pak Lah ) ketika ini berada ditahap yang cukup kritikal. Kualiti pentadbiran yang cacamarba dan bersifat ad hoc dengan pelan jangka masa panjang yang keliru menjadikan pemerintahan Pak Lah seringkali berhadapan dengan kritikan-kritikan yang cukup tajam dan pedas. Kemampuan Pak Lah untuk meneruskan agenda pembangunan yang telah diasaskan oleh Tun Dr. Mahathir dilihat amat rendah. Malahan pentunjuk ekonomi juga membuktikkannya. Keadaan inflasi yang semakin meningkat kesan daripada tindakan tidak bijak kerajaan menaikkan harga minyak dan tarif elektrik serta beberapa tarif lain menjadikan kehidupan rakyat semakin tertekan. Sementelahan pula kenaikan semua itu tidak beriringan dengan kenaikkan gaji para pekerja. Semua inilah yang menyebabkan rakyat mempertikaikan kewibawaan pemerintahan Pak Lah, kegagalan beliau untuk menterjemahkan aspirasi menifesto pilihanraya yang diuar-uarkan sepanjang kempen pada pilihanraya umum 2004 cukup menggelisahkan rakyat. Pada setiap detik dan ketika masing-masing sibuk menduga dan tertanya apa lagi yang akan naik selepas ini ?

Jambatan Indah

Ditengah-tengah situasi inilah kita semua digegarkan dengan kemunculan semula Tun Dr. Mahathir. Bermula dengan suara lantang mempertikaikan kegagalan kerajaan meneruskan projek Jambatan Indah, salah satu komponen didalam projek mega Gerbang Selatan Bersepadu. Projek Jambatan Indah ini adalah satu usaha bagi menggantikan keusangan Tambak Johor yang tidak mampu lagi menampung kesesakan di Selat Johor. Projek ini sebenarnya semenjak dari awal lagi telah diselubungi dengan pelbagai masalah kesan daripada pengurusan projek yang pelik dan kemuncak kepada segala permasalahan ini ialah apabila kerajaan Singapura menolak untuk melakukan kerjasama bagi menjayakan projek ini. Jika diperingkat awal kerajaan pimpinan Pak Lah dilihat begitu tegas mempertahankan projek ini. Ketegasan itu dapat dilihat daripada arahan kabinet yang mengarahkan kontraktor meneruskan kerja meskipun tanpa kerjasama daripada kerajaan Singapura. Tapi ketegasan itu terungkai apabila kerajaan Singapura bertegas membantah projek tersebut dan bercadang membawa ke mahkamah antarabngsa seandainya Malaysia meneruskannya. Kegagalan mempertahankan ketegasan tersebut membawa kepada satu pengumuman yang dilihat semua pemerhati khususnya Tun Dr. Mahathir sebagai “menjual kedaulatan negara” apabila Pak Lah dilihat semudah itu tunduk dengan tekanan Singapura.

Didalam hal ini sememangnya ada sebab untuk Tun Dr. Mahathir marah, projek jambatan Indah adalah antara anak kesayangan beliau yang lahir daripada idea beliau sendiri, membantalkannya sama seperti menghina beliau... tapi adakah kerana persoalan ini saja yang membuatkan Tun Dr. Mahathir begitu marah ?

Isu AP dan Proton

Sebelum daripada isu Jambatan Indah kita sebenarnya telah menyaksikan betapa lincahnya permainan Tun Dr. Mahathir. Isu AP dan Proton, Tun Dr. Mahathir menjadi wira sehingga menyebabkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Rafidah Aziz merayu-rayu sambil tersedu menangis menahan serangan Dr. Mahathir. Klimaknya pastinya aksi berpelukkan Dr. Mahathir dan Rafidah yang hangat diperdebatkan.

Soalnya dimana Pak Lah ketika itu..?

Isu Kekeringan Perbendaharan Kerajaan

Ini mungkin isu yang benar-benar menyayat hati Dr. Mahathir. Isu ini timbul apabila kerajaan terpaksa menaikkan beberapa tarif yang dikatakan berpunca daripada kekeringan perbendaharaan kerajaan. Isu ini mungkin ada kebenarannya terutama kecenderungan pemerintahan dizaman Dr. Mahathir berbelanja besar melalui projek mega yang dipertikaikan rakyat. Putrajaya, KLCC dan sebagainya antara projek yang dilihat sebagai usaha Dr. Mahathir meninggalkan monumen-monumen yang akan menginggatkan seluruh rakyat Malaysia terhadap beliau dan jelas usaha itu berjaya. Rakyat Malaysia tidak akan tertinggal menyebut tentang kewujudan segala monumen ini apabila berbicara tentang Dr. Mahathir. Tidak kiralah samada ianya dalam konteks baik mahupun buruk.

Bagi pemerintahan dizaman Pak Lah semua yang diwarisi ini membawa masalah yang bukan sedikit kepada beliau. Kegilaan Dr. Mahathir terhadap pembangunan fizikal menjadikan kantung perbendaharaan negara meruncing dan didalam kadaan itu Pak Lah perlu pula berdepan dengan pergolakkan dunia yang menyebabkan kenaikkan harga beberapa sumber asas tenaga seperti minyak. Maka pilihan yang ada bagi Pak Lah ialah menuruti arus tersebut. Malangnya ianya juga menyebabkan ketidakpuashatian rakyat terhadap pemerintahannya. Dan jika kita mengambil hujah mudah isu kekeringan perbendaharaan negara kesan kegilaan Dr. Mahathir adalah jawaban yang sesuai untuk melarikan pandangan kritkal rakyat terhadap pemerintahan Pak Lah. Ini adalah satu proses melepaskan diri. Soalnya adakah kaedah ini berjaya ?

Konklusi

Ini adalah padangan daripada sudut yang berbeza kebenarannya boleh dilihat sebagai hanya satu analisis politik. Kita perlu sedar politik UMNO cukup licik. Liciknya adalah untuk memastikan survival politik parti tersebut yang semakin hari semakin meruncing. Jika kita ingin melihat permainannya jalan ceritanya perlu difahami. Didalam isu Pak Lah – Mahathir yang begitu hangat diperkatakan ketika ini satu lagi pandangan juga perlu dinilai supaya kita tidak dengan mudah terperangkap dengan permainan licik UMNO.

Imej Pak Lah Merundum

Kita menyedari bahawa imej Pak Lah ketika ini merundum dihati rakyat. Rakyat semakin merasakan bahawa apa yang mereka tatapi pada pilihanraya yang lalu adalah satru lakonan pentas yang cukup mengasyikkan. Kini rakyat mula sedar. Dimana-mana pun rakyat mula mempersoalkannya. Ahli-ahli UMNO diperingkat bawahan juga begitu, mereka melihat Pak Lah sebagai “Perdana Menteri Dalam Tempoh Peralihan”. Permainan media didalam beberapa isu dilihat tidak mampu mengangkat kembali imej Pak Lah dan pilihanraya negeri Sarawak boleh dijadikan indikator. Imej Pak Lah tewas bila berdepan dengan isu. Ini adalah kebimbangannya. Dengan tempoh mungkin setahun lebih saja lagi menjelang pilihanraya umum UMNO tidak mampu untuk menghadapinya dengan imej Pak Lah yang sebegini. Ditambah pula kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim ! Sesuatu perlu dilakukan !

Imej Zalim Dr. Mahathir

Dr. Mahathir dan kezaliman seakan telah sinonim. Dia diangkat sebagai ikon kezaliman negara diabad ke 21. Dr Mahathir akan selamanya dikenang sebagai individu yang bertanggungjawab kepada 2 perpecahan besar didalam UMNO. Dr. Mahathir juga selamanya dianggap sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap campurtangan keterlaluan terhadap institusi kehakiman. Selamanya imej Dr. Mahathir itu adalah zalim dimata rakyat dan dimata ahli UMNO sendiri. Di sinilah kelebihannya !

Permainan Saraf Yang Licik

Pasti kita biasa menonton drama-drama kepolisian di televisyen. Jika biasa kita tentu biasa menonton babak “Good Cop, Bad Cop”. Babak yang selalunya dipergunakan oleh polis untuk mendapatkan maklumat daripada penjenayah. Seorang polis akan berlakon menjadi kasar, kaki pukul dan pelbagai lagi imej buruk untuk menakutkan penjenayah. Kemudian ada seorang lagi polis akan muncul dengan imej baik, lemah lembut, bercakap sopan, pemurah dan sebagainya. Kebiasaanya permaian “Good Cop, Bad Cop” ini berkesudahan penjenayah akan menyerah kalah.

Cuba kita aplikasikan permainan “Good Cop, Bad Cop” ini didalam situasi politik yang melanda antara Pak Lah dengan Dr. Mahathir ketika ini. Bagi mengembalikan imej Pak Lah yang jatuh merundum satu-satu caranya ialah dengan mewujudkan satu lagi watak yang benar-benar jahat dan semua orang tahu dia jahat. Disinilah munculnya Dr. Mahathir. Beliau hadir dengan kritikan pedas dan kritikal terhadap kerajaan dan Pak Lah. Hamburan kata-katanya cukup memedihkan dan tiada siapa pun yang tahu politik akan sewenang-wenangnya akan mengeluarkan komen sebegitu kerana kesannya amat buruk kepada parti, melainkan ada niat disebaliknya. Kita petik pernyataan Dr. Mahathir didalam NST “...i’m supportive of Umno, my party..” . Inilah key factornya Dr, Mahathir selamanya adalah UMNO kerana UMNO yang ada hari ini adalah UMNO yang ditubuhkan oleh beliau dan dia tidak akan sanggup melihat UMNO yang ditubuhkannya ditolak oleh rakyat sehingga berkubur ketika dia masih hidup. Untuk memastikan itu tidak berlaku beliau akan melakukan apa saja waima menjadi sejahat-jahat watak manusia.

Kesannya Kepada Imej Pak Lah

Dengan munculnya watak sejahat Dr. Mahathir imej Pak Lah secara automatisnya menjadi baik. Kita kena ingat imej Pak Lah pada pilihanraya umum 2004 menjadi sangat baik seperti wali kerana perbandingan yang dilakukan rakyat terhadap Dr. Mahathir dan ramai yang tersilau dan terpukau dengan permainan itu. Dan sekali lagi hari ini permainan yang sama cuba dilakukan. Imej Pak Lah dimata ahli-ahli UMNO akan kembali dijana sebagai cucu anak ulama yang menyelamatkan UMNO daripada kubang kekotoran Dr. Mahathir. Kejahatan Dr. Mahathir akan disegarkan kembali. Pak Lah akan diprojekkan sebagai mangsa kepada kegilaan Dr. Mahathir yang cuba mencampuri urusan kerajaan meskipun beliau telah meletakkan jawatan. Maka akan bergendanglah segala propaganda nantinya bahawa segala kenaikan yang berlaku hari ini samada minyak atau tarif elektrik terpaksa dilakukan kerana silap Dr. Mahathir dulu dan sememangnya gendang itu telah pun berbunyi.

Hari ini orang memanggil Dr. Mahathir sebagai si tua kutuk tak sedar diri ! Dan adakah semua ini berbaloi untuk Dr. Mahathir...? Ya..! amat berbaloi dan bagi Dr. Mahathir tiada satu apa pun kerugian didalam hal ini. Beliau didalam sejarah UMNO akan dikenang sebagai pengasas UMNO yang sanggup melakukan apa saja untuk UMNO, meskipun yang dikorbankan adalah maruah dan kehormatan diri.

Persoalan Yang Timbul

Soalnya adakah kita akan turut tersilau sama dengan permainan ini ? Adakah kita akan terus-terusan menari mengikut rantak dan gendang yang telah dipalu oleh UMNO ? Menyokong gerak, gertak dan permainan Dr. Mahathir tanpa berfikir panjang akan menyebabkan imej Dr. Mahathir tertumpang diatas kita..! Menari bersama dengan palu genderang Dr. Mahathir mungkin akan menyebabkan kebangkitan yang sedang dijana ketika ini layu sebelum berkembang..! Maka adalah baik pada ketika ini kebijaksanaan lebih 50 tahu kita berpolitik digunakan...lujnah politik perlu berperanan dengan bijak dan pintar. Membaca pergerakkan musuh perlu 5 langkah kehadapan supaya kita tidak semudahnya di permainkan...! Berhati-hati kawan jerat tidak pernah melupakan pelanduk, meskipun pelanduk sering melupakannya....!

 
posted by dppk sekijang at 8:35 PM |


0 Comments: