Makluman.... Untuk paparan yang baik sila gunakan browser Mozilla Firefox dan resolusi 1024 x768!.... WTV8 dan WEBRTV TV Alternatif Online Kita!....

Oleh : Mohd Rashid bin Ithnin (Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Sekijang)

Hari ini terbukti sudah bahawa apa saja yang dipamerkan oleh pimpinan UMNO khususnya Presidennya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sepanjang kempen Pilihanraya 2004 adalah satu lakonan semata-mata. Imej prihatin, telus dan lembut yang diuar-uarkan oleh media propaganda mereka tidak mampu membendung karektor mereka yang sebenar. Segala janji perubahan, kebaikan dan anjakan kini tinggal janji yang tidak mungkin terlaksana lagi. Transisi perubahan karektor dari seorang yang diuar-uarkan sebagai cucu seorang ulama kepada karektor diktator telah meruntuhkannya. Mungkin ada benarnya pandangan sesetengah pihak bahawa kekurangan kredibaliti dan ketidakupayaan seorang pemimpin untuk mengawal organisasi dan kepimpinannya akan membuka kepada pembentukkan seorang diktator, lagi-lagi pula jika ditangannya dilonggokkan segala kekuasaan ! Kebenaran inilah yang dihadapi oleh rakyat Malaysia hari ini, kerana kegagalan pimpinan UMNO / BN menerajui negara dengan bijaksana maka segala kekuasaan yang dimiliki dipergunakan untuk menekan semua pihak bagi menyembunyikan kekurangan yang ada.

Hari ini kita berdepan dengan segala macam kesusahan... kenaikan harga minyak, kenaikan tarif elektrik, kenaikan taksiran cukai dan pelbagai lagi kenaikan yang dihadapkan secara sekaligus kepada kita. Semua kenaikan ini adalah berpunca daripada kegagalan kerajaan pimpinan UMNO/BN untuk mentadbir negara. Sebagai contohnya didalam hal kenaikan tarif harga elektrik. Kenaikan itu diuar-uarkan berlaku kerana kesan daripada kenaikan harga minyak sehingga menyebabkan TNB mengalami kerugian tetapi soal utama yang merupakan faktor penting mengapa berlakunya kenaikan tarif harga elektrik disembunyikan. Namun adakah bangkai gajah mampu disembunyikan dengan sehelai nyiru.. tidak.. Hari ini kita mempersoalkan tentang perjanjian pelik dan berat sebelah yang dikenakan keatas TNB oleh pembekal tenaga bebas (IPP).. hari ini kita persoalkan dimana kewajarannya pemaksaan perjanjian tersebut sehingga menyebabkan TNB sebuah syarikat yang berkaitan dengan kerajaan (GLC) menjadi seperti pengemis apabila berhadapan dengan IPP. Kita juga mempersoalkan dimana kebijaksanaan kerajaan dan TNB apabila menerima pakai perjanjian yang tidak boleh disemak semula. Begitu juga kita mempersoalkan mengapa perjanjian pembayaran dengan IPP berkehendakkan TNB membayar didalam tunai pada setiap minggu sedangkan TNB hanya mengutip bayaran daripada pengguna mengikut kadar bulanan !

Persoalan-persoalan diatas inilah yang mengakibatkan TNB menjadi sebuah GLC yang tidak berdaya saing dan berdaya mampu sehingga menyebabkan TNB menjadi begitu rapuh kepada sebarang perubahan persekitaran ekonomi.

Hujah Lucah

Sebagaimana kita dihujahkan bahawa kenaikan harga minyak tidak akan membebankan rakyat, begitu jugalah minda kita dilucahkan dengan hujah lapuk dan tidak berasas ini. Bagi pelajar tingkatan 5 yang mengambil ekonomi asas sekalipun tahu bahawa bagi setiap output pengeluaran aspek harganya akan berubah mengikut kos dan jika berlaku sebarang peningkatan terhadap kos ini secara automatisnya ianya akan memberi kesan kepada harga produk ataupun perkhidmatan. Benar kenaikan tarif elektrik adalah kecil.. tapi jika kita himpunkan segala kenaikan yang berlaku sepanjang tempoh Pak Lah memimpin kerajaan tidakkah itu sudah cukup membebankan.. kenaikan harga minyak.. kenaikan cukai pintu.. kenaikan cukai taksiran harta dan sebagainya. Tidak jelaskah kepada kita bahawa semua ini akan mempengaruhi peningkatan kos dan peningkatan ini kesannya akan dirasai oleh rakyat melalui kenaikan harga produk dan perkhidmatan. Tidak kiralah jika kenaikan tarif elektrik itu hanya melibatkan pengguna yang mengunakan jumlah elektrik yang tinggi seperti sektor industri dan sebagainya kerana secara langsung semua pihak akan mendapat tempiasnya melalui kesan kenaikan harga barang dan perkhidmatan... maka tidak jelaskah lagi kepada kita bahawa hujah kenaikan tarif elektrik tidak akan menyusahkan rakyat adalah satu hujah lucah lagi bodoh.. dan jika ada dikalangan kita yang memilih untuk diperbodohkan dengan hujah sebegitu maka baik saja dia ditempatkan di wad rawatan sakit jiwa kerana orang yang waras pemikirannya tidak akan membiarkan diri mereka diperbodoh dengan semudah itu..!

Sampai Sudah Masanya

1998 mungkin tahun keramat bagi seluruh Malaysia. Tahun itu boleh dikatakan sebahagian daripada kita berjaya melepaskan diri kita didalam konkongan minda kerajaan pimpinan UMNO/BN yang tepu. Sebahagian daripada kita merdeka ketika itu. Tetapi pada tahun 2004 sebahagian daripada kita mungkin kerana tidak menikmati kemerdekaan 1998 secara bijaksana dengan memperkasakannya dengan ilmu dan ketahanan diri telah memilih untuk bersekongkol balik didalam gelap perjuangan UMNO/BN.. mungkin juga kerana tersilau dengan permainan licik media propaganda yang tak henti-henti menjalankan jarum sarafnya. Tetapi hari ini tahun 2006 sekitar lebih kurang setahun lebih lagi sebelum berlakunya pilihanraya umum... kita yang telah memilih untuk merdeka atau pernah memilih untuk merdeka juga pada mereka yang belum lagi merdeka maka sudah sampai masanya untuk kita melakukan muhasabbah terbesar dalam diri kita.. melihat kembali sejarah hitam pemerintahan UMNO/BN yang penuh dengan penyelewengan, pengkhianatan dan kemungkaran sebagai lipatan yang ingin kita lupakan... asSyahid Syed Qutb pernah menyatakan didalam buku terakhir karangannya Petunjuk sepanjang Jalan.. bahawa antara ciri-ciri yang ada pada generasi pertama Islam (generasi yang berada bersama Rasulullah s.a.w) sehingga mereka dianggap sebagai generasi terhebat pernah dilahirkan dan tidak mungkin lahir lagi ialah apabila mereka memilih untuk bersyahadah didalam Islam mereka melakukan pengasingan sepenuhnya dengan sejarah jahiliyyah yang pernah mereka lalui.. maka mari semua sudah sampai masanya.. kita tolak mereka yang tidak pernah sekelumit prihatin terhadap permasalahan kita... kita tolak mereka yang pura-pura dan pembohongan menjadi mainan lidah dan sikap mereka... kita tolak mereka yang menjadi parasit hidup menumpang diatas kesusahan orang lain.. kita tolak mereka semua bagi membina masa depan yang lebih adil dan saksama !
 
posted by dppk sekijang at 8:42 PM |


0 Comments: