Makluman.... Untuk paparan yang baik sila gunakan browser Mozilla Firefox dan resolusi 1024 x768!.... WTV8 dan WEBRTV TV Alternatif Online Kita!....

Oleh : Mohd Rashid bin Ithnin ( Ketua DPPK Sekijang )

Drama apa yang hendak dipentaskan oleh bekas Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir ini. Menarik sungguh aksinya, yang kekadang berdiri gah menghunus senjata, berpencak bagai nak gila, kemudian bernada sinis, bersuara rajuk merintih manja. Aduh tinggi benar penghayatan wataknya. Soalnya mampukah luahnya itu menyentuh naluri khalayak yang kebanyakannya tuli, bisu dan buta. Jadilah apa sekalipun, tidak kiralah Hang Tuah atau Jebat, Hang Nadim atau Bentara Guru waima menjadi sibenggali penjual roti sekalipun belum tentu lagi khalayak akan menghayatinya lagilah mahu bertepuk sorak menghargainya. Kasihan sekali !

Kasihannya bukan kerana kasih, bukan juga kerana sayang tapi kasihannya kerana melihatkan sejarah yang telah dicipta oleh beliau sendiri mentertawakan dirinya tanpa belas. Bukankah budaya angguk tanpa henti dan sokong tanpa butir yang dihadapinya ketika ini adalah budaya amalan yang telah disemai tanam oleh tangan beliau sendiri. Dan hari ini setelah pohon ketaatan membuta tuli itu meranumkan buahnya, berkeluh kesah pulak dia merenung nasib diri digelakkan beramai-ramai. Kunyah saja kepahitan itu Tun Dr. Mahathir ! Telan saja sakitnya bersama-sama bisanya sekali. Saksikanlah sendiri bagaimana akar pohon ketaatan membuta tuli itu membesar, memanjang merekahkan tanah menghancur paksi jati diri rakyat negara ini.

Selama 22 tahun dibawah kediktatoran, sudah cukup menyesakkan rakyat negara ini. Sistem sosial yang telah dibina jelas amat hanya berupaya membina jiwa-jiwa kosong tanpa akal kurniaan tuhan. Rakyat negara ini telah terdidik didalam sistem yang tidak berkehendakkan mereka berakal baligh selamanya. Hamparkanlah 235 juta kotak bukti dan fakta sekalipun. Tunjukkanlah 674 juta helaian surat pengesahan sekali pun. Tetap pasti ianya tersangkal dek hujah ketaatan membuta tuli yang berakar umbi itu.

Turunkanlah deretan bijak pandai tidak kiralah yang berstatus doktor mahupun profesor sekalipun, jika telah bernada pemimpin dipuncak singgahsana itu menitahkan bahawa 10 jika ditolak 5 itu jawabannya 234 maka tiada siapapun mampu menafikannya. Fiqh ketaatan membuta tuli ini prinsipnya ialah bagi setiap isi yang diperkata dacing dan keris adalah pertimbangannya. Jangan lihat isinya lihatlah keris disisipnya serta dacing didahinya ! Bukankah prinsip fiqh ketaatan membuta tuli ini adalah prinsip asas yang telah sekian lama kamu amalkan sebagai prasyarat untuk bergelar Hang Setia dan Sang Taat ! Tidak mungkin kamu melupakannya Tun Dr. Mahathir ?

Jangan juga kamu lupa Tun Dr. Mahathir, pada pilihan umum yang lalu kerana prinsip inilah yang telah kamu strategikan bagi memastikan tampuk pemerintahan negara terus kekal dikalangan kamu sehingga menjadikan rakyat negara ini berperilaku pelik melupakan segala kejahatan dosa-dosa yang belum diperhitungkan untuk tunduk pada kelucahan idealisma yang berpaksikan kepada saranan lupakanlah yang lalu, undilah untuk masa depan bersama Pak Lah ! Maka marilah, marilah kita mengharungi masa depan bersama Pak Lah ! Bak kata si cerdik pandai patah kaki bertongkat sayap, patah sayap bertongkat paruh.. apalah sangat segala kesusahan itu.. apalah sangat kenaikan 30 sen harga minyak itu, buakannya RM3 pun..! Apalah sangat kenaikan terif elektrik itu... gelap kita bersuluh pelita, padam kita berlampu lilin... apalah sangat ! Tiada gunanya kamu hendak merengus Tun Dr. Mahathir hari ini kita tuai bersama apa yang kamu semai !

Kamu pamerkanlah segala kebodohan pemerintahan hari ini. Kamu lontarkanlah segala bukti ketololan. Kamu buatlah apa saja sekalipun pentas ini bukan lagi milik kamu. Takdirnya hari ini kamu meniti sisa terakhir usia kamu untuk melihat satu persatu ketololan dan kebodohan itu mengikis, menghakis, merungkai, menghancur segala yang kamu bina. Tun Dr. Mahathir betapa kasih pun kamu kepada parti yang kamu tubuhkan tetap takdirnya kamu akan melihat UMNO itu merangkak-rangkak, mengesut-esut, mengelepar kesakitan berdepan dengan maut yang ditempanya sendiri. Jangan salahkan sesiapa kerana mereka hanya menuai apa yang kamu semai !

 
posted by dppk sekijang at 9:00 PM |


0 Comments: